nuffnangs

♥ HULURKAN KLIK RINGANKAN BEBAN ♥

♥ DAFTAR LINK ANDA DISINI ♥

Tahniah Hairi Safwan & Fara Afiza Azman


CUMA syukur yang terucap di bibir pelakon Hairi Safwan, 26, ketika ditanya perasaan selepas sah bergelar suami kepada Fara Afiza Azman, 24, pada 22 Mac lalu.

“Rasa seperti bermimpi pun ada dan saya bersyukur semuanya selamat dilangsungkan.

Saya akan cuba untuk melakukan yang terbaik untuk menjaga Fara dan dalam masa yang sama saya tetap meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon," kata Hairi kepada Hits. Hairi atau Mohd. Hairi Safwan Aznan selamat bernikah dengan Fara dengan hanya sekali lafaz di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, Pulau Pinang kira-kira pukul 10.30 pagi.

Majlis akad nikah disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Orang Islam kawasan Kepala Batas Pulau Pinang, Jamal Darus.

Pada majlis itu Hairi menyerahkan mas kahwin berupa seutas gelang tangan bernilai RM3,000 manakala wang hantaran sebanyak RM15,000.

Pihak lelaki turut memberikan sembilan dulang hantaran antaranya kasut, minyak wangi, beg tangan, kamera, sirih junjung, kek dan coklat.

Ia dibalas sebelas dulang oleh pengantin perempuan antaranya kasut, jam tangan, sejadah, buah-buahan, jaket, beg, sirih junjung, minyak wangi dan coklat.

Kedua-dua mempelai kelihatan anggun mengenakan busana berwarna putih gading.

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dan dipermudahkan segala hal.


“Saya bukan seorang yang terperinci tapi asalkan semua tetamu yang hadir gembira dan biar majlis pernikahan kami menjadi sebuah majlis yang diingati selamanya," tutur Hairi yang telah bertunang dengan Fara pada 17 Ogos lalu.

Majlis resepsi pasangan pengantin akan diadakan pada 7 Jun depan di Dewan Bandaraya Alor Setar, Kedah yang merupakan negeri kelahiran Hairi.

Mengakui gentar untuk memikul tanggungjawab sebagai suami kata Hairi, dia mengaku kini masih menyesuaikan diri dengan kehidupan baharunya itu.

“Sekarang, saya sedang dalam proses adaptasi diri sebagai seorang suami. Tidak dinafikan, awal-awal saya juga berasa sedikit janggal kerana sebelum ini saya sudah biasa hidup bujang dan sekarang status sudah mula berubah menjadi seorang suami.

“Jika dahulu seorang diri, tetapi sekarang saya perlu berkongsi kehidupan dengan orang lain.

“Perkahwinan ini menandakan permulaan tanggungjawab saya untuk menjadi suami yang sempurna kepada isteri.

“Sebetulnya, saya rasa sangat tenang dan lebih matang. Mulai sekarang masing-masing sudah ada tanggungjawab bersama. Kini, saya juga sedang belajar dan apa yang penting kita perlu saling ingat-mengingati," ujarnya.

Pandai ambil hati

Ditanya kenapa Fara menjadi pilihan, Hairi tidak menolak bahawa keserasian dalam hubungan merupakan sebab utama kenapa dia memilih bakal guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani itu sebagai teman hidupnya.

“Sebenarnya ada banyak ciri yang saya suka pada dia. Antara perkara yang membuatkan hati saya terbuka untuknya adalah dia cukup pandai mengambil hati kedua ibu bapa saya.


“Masa saya bawa dia jumpa ibu bapa saya, dia pandai ambil hati mereka. Dia rapat dengan ibu saya. Dan walaupun umurnya masih muda tapi pemikiran dia matang dan dia pandai kawal saya.

“Selain itu, dia juga seorang yang lemah-lembut dan pandai melayani kerenah budak-budak kecil. Saya percaya, apabila sudah ada anak nanti, dia boleh menjaga anak-anak saya," katanya yang tidak menetapkan bilangan anak yang ingin diperoleh.

Tambah Hairi, dia juga bertuah kerana memperoleh seorang isteri yang memahami kerjayanya sebagai pelakon selain tidak menghalang dia untuk bergiat aktif dalam dunia seni.

Menceritakan kembali perkenalan dengan gadis kelahiran Pulau Pinang itu, Hairi memberitahu dia bertemu dengan isterinya itu di Perlis sewaktu terlibat dengan pementasan teater Nyonya Cantik di sana.

“Ketika itu saya di Perlis menjayakan pementasan teater. Saya kenal dia dalam doa. Selepas solat saya berdoa, “Ya Allah, kalau kau pertemukan aku dengan wanita yang aku lihat bukan dengan nafsu, aku akan kahwin dengan wanita itu.

“Sewaktu saya keluar dari masjid saya lihat ada seorang gadis seksi di luar masjid. Tak lama kemudian saya terpandang si cikgu ni.

“Selepas itu saya terus mencari dia. Saya suruh dia tambah saya sebagai kenalan di Facebook dan minta nombor telefon dia.

“Malam itu juga saya hubungi dia dan bertanya sama ada dia sudah punya teman lelaki atau tidak. Dia jawab belum. Masa tu juga saya cakap pada dia, mulai hari ini saya teman lelaki dia," selorohnya.

Bekas peserta program Anak Wayang ini juga berkata, apabila berjumpa dengan isterinya, dia berikan senaskhah Al-Quran dan terus luahkan hasrat untuk bertunang pada masa itu.


Sumber : Media

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum. Mekasih Sudi Baca Entry Yang Tak Seberapa Ni. Harap-Harap Sudilah Komen Sepatah Dua Kata.

COPYRIGHT/izny-inspirasikehidupan.blogspot.com